Bomoh atau dukun biasanya akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.
Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebinarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْئٍ فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا
Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( HR Muslim )
Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :
مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ )
Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( HR Abu Daud )
MENGGUNAKAN BOMOH MEMBAWA KEPADA SYIRIK :
Syirik lawan daripada Tauhid. Jika makna Tauhid : Meng-Esakan Allah S.W.T. dalam ibadat , maka makna syirik pula ialah memalingkan apapun jenis ibadat kepada selain Allah. Syirik adalah dosa besar yang paling besar daripada dosa-dosa besar lainnya. Di antara bukti betapa besarnya dosa syirik ialah sebagaimana berikut :
1. Allah tidak akan memaafkan dosa syirik.
Maksudnya : Dosa syirik adalah satu-satunya dosa besar yang tidak akan diampuni oleh Allah di akhirat nanti jika ia tidak memohon ampun kepada Allah semasa hayatnya sebelum ia mati. Hakikat ini dinyatakan oleh Allah S.W.T. di dalam firman-Nya :
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَغْفِرُ أَنْ يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَلِكَ لِمَنْ يَشَاءُ وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدِ افْتَرَى إِثْمًا عَظِيمًا (48)
Ertinya : Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. ( Al-Nisa' / 4 : 48 )
2. Menghancurkan Semua Amalan
Walaupun banyak janji Allah tentang kelebihan atau fadhilat amalan, namun kita juga mesti peka bahawa terdapat juga perkara yang boleh merosak atau memusnahkan sesuatu amalan. Di antara dosa yang dapat merosakkan amal kebaikan ialah syirik. Ini sebagaimana firman Allah S.W.T :
وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَكْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ (65)
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada (nabi-nabi) yang sebelummu: "Jika kamu mempersekutukan (Tuhan), niscaya akan hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk orang-orang yang merugi. ( Al-Zumar : 65 )
3. Membawa Kehinaan.
Jika manusia terlibat dengan dosa syirik maka darjat mereka sangat hina. Mereka seolah-olah seperti sesuatu yang jatuh dari langit lalu disambar oleh burung dan diterbangkan oleh angin ke tempat yang sangat jauh. Hal ini dinyatakan oleh Allah di dalam firman-Nya :
وَمَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَكَأَنَّمَا خَرَّ مِنَ السَّمَاءِ فَتَخْطَفُهُ الطَّيْرُ أَوْ تَهْوِي بِهِ الرِّيحُ فِي مَكَانٍ سَحِيقٍ (31)
Barang siapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh. ( Al-Hajj / 22 : 31 )
4. Diharamkan Masuk Syurga
Dosa syirik menjadi penyebab utama seseorang diharamkan daripada memasuki syurga dan dia kekal di dalam neraka selama-lamanya. Allah berfirman :
إِنَّهُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ (72)
Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya surga, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun. ( Al-Maidah / 5 : 72 )
5. Zalim Paling Besar.
Maksudnya : Kalau adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya, maka lawan adil adalah zalim. Zalim maknanya meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Mengapa demikian ? Kerana syirik bermakna mengurangi hak Allah dan menyamakan Allah dengan makhluk-Nya. Ini sebagaimana nasihat Luqman kepada anaknya yang dikhabarkan oleh Allah di dalam firman-Nya.
وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ ِلابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لاَ تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ (13)
Dan (ingatlah) ketika Lukman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: " Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan (Allah) sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah binar-binar kezaliman yang besar ". ( Luqman : 13 )
No comments:
Post a Comment